Syarat dan Format

SYARAT-SYARAT DAN PERATURAN
PERTANDINGAN DEBAT TERBUKA ASTAR
UNIVERSITI MALAYA
SESI 2016/2017

1.         AM
1.1.       Peraturan ini diterima pakai untuk Pertandingan Debat Terbuka ASTAR Universiti Malaya sesi 2016/2017.
1.2.       Tafsiran peraturan ini adalah hak mutlak pihak penganjur dan keputusan pihak penganjur adalah muktamad.
1.3.       Pihak penganjur mempunyai hak untuk meminda sebarang peraturan sebelum permulaan pertandingan sebagaimana yang difikirkan sesuai.

2.         SYARAT- SYARAT PENYERTAAN
2.1.       Pertandingan ini terbuka kepada semua mahasiswa/i Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Institut Pendidikan Guru (IPGM), Politeknik dan Pusat Pengajian Peringkat Matrikulasi atau Asasi di Malaysia.
2.2.       Setiap universiti boleh menghantar SATU (1) pasukan bagi kategori UTAMA dan SATU (1) pasukan bagi kategori MUDA dan hanya 40 pasukan terawal sahaja dibenarkan untuk bertanding. Pihak penganjur akan mempertimbangkan sekiranya sesebuah institusi ingin menghantar lebih daripada 2 pasukan mengikut budi bicara penganjur.
2.3.       Penyertaan untuk kategori Utama adalah terbuka kepada semua mahasiswa/i tanpa mengira tahun pengajian.
2.4.       Penyertaan bagi kategori Muda adalah hanya terbuka kepada mahasiswa/i Tahun Kedua dan ke bawah serta mahasiswa/i Asasi.
2.5.       Semua anggota pasukan mestilah terdiri daripada penuntut institut yang sama. Salah seorang ahli pasukan adalah digalakkan terdiri daripada kaum bukan Melayu. Pengesahan bahawa mereka adalah penuntut institusi berkenaan hendaklah dibuat oleh institusi pengajian masing-masing.
2.6.       Bagi setiap pasukan DIWAJIBKAN menghantar seorang pengiring. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan penyertaan terbatal.
2.7.       Pendebat hendaklah hadir di tempat pertandingan 15 minit lebih awal untuk tujuan pengesahan pertandingan.
2.8.       Pendebat hendaklah berpakaian kemas semasa pertandingan.
2.9.       Pendebat tidak dibenarkan menunjukkan aksi kurang sopan, misalnya mengucapkan perkataan yang kasar dan kurang manis.
2.10.   Pendebat tidak dibenarkan menggunakan alat-alat bantuan, ayat-ayat Al-Quran dan Hadis ketika berhujah. Penggunaan bahan bantuan luar (buku, carta, majalah dan lain-lain) semasa perdebatan berlangsung adalah dilarang sama sekali.
2.11.   Pendebat tidak dibenarkan menyentuh peribadi seseorang atau isu perkauman, keagamaan, kebudayaan dan isu yang boleh menggugat keselamatan negara.
2.12.   Semua peserta hendaklah berkelakuan dengan tertib dan penuh sopan semasa pertandingan.

3.         STRUKTUR PERTANDINGAN
3.1.       Pertandingan ini menggunakan sistem ‘Power Match’ (kaedah Swiss Bracket) untuk pusingan awal/saringan. Kesemua pasukan daripada kategori Utama dan Muda akan disekalikan dalam satu kumpulan semasa pertandingan pusingan awal.
3.2.       Sistem ini akan digunakan untuk menentukan pasukan yang akan berlawan dan juga peranan mereka (kerajaan/ pembangkang).
3.3.       Melalui kaedah ‘Power Match’, terdapat kemungkinan bahawa pasukan akan berdebat dengan pasukan yang sama lebih daripada sekali. Terdapat juga yang akan berdebat dengan pasukan lain dari universiti mereka sendiri.
3.4.       Pusingan Pertama (Saringan)
3.4.1.      Penentuan kumpulan lawan untuk perdebatan yang pertama akan dilakukan secara rambang (rawak).
3.4.2.      Penentuan peranan (kerajaan/pembangkang) untuk perdebatan pertama akan ditentukan secara rambang/undian.
3.5.       Pusingan Kedua hingga Keenam (Saringan)
3.5.1.      Untuk pusingan kedua, pasukan-pasukan akan disusun mengikut kriteria yang ditetapkan. Pasukan yang menang akan dikumpulkan dalam satu kategori dan begitu juga untuk yang kalah. Penentuan pertandingan seterusnya akan dibuat berdasarkan kedudukan dalam kumpulan-kumpulan yang tersebut.
3.5.2.      Kriteria-kriteria yang akan diambil kira untuk menentukan kedudukan pasukan adalah seperti berikut :
                                                                i.    Menang/Kalah
                                                              ii.    Juri (Jika berkenaan)
                                                             iii.    Margin
                                                             iv.    Markah
3.5.3.      Selepas setiap perdebatan, kedudukan setiap pasukan akan ditentukan semula mengikut kriteria dan disusun kembali seperti kaedah di atas. Sekiranya terdapat bilangan pasukan yang ganjil dalam setiap kategori, pasukan yang berada di tangga teratas dalam kategori di bawah akan dimasukkan dalam kategori tersebut.
3.5.4.      Penentuan peranan (kerajaan/pembangkang) untuk perdebatan yang seterusnya akan ditentukan mengikut peranan setiap pasukan dalam perdebatan sebelumnya. Selalunya penentuan pasukan ialah yang berdasarkan kepada jumlah sesebuah pasukan itu menjadi kerajaan.
3.6.       Pusingan Suku Akhir, Separuh Akhir dan Akhir
3.6.1.      Kedudukan pasukan akan ditentukan selepas selesai Enam (6) pusingan awal. Ini adalah untuk menentukan pasukan mana yang layak ke peringkat seterusnya.
3.6.2.      Kedudukan pasukan ditentukan mengikut kriteria berikut :
                                                                                                i.     Menang/Kalah
                                                                                              ii.     Juri (Jika berkenaan)
                                                                                             iii.     Margin
                                                                                           iv.     Markah
3.6.3.      Lapan (8) pasukan dengan kedudukan teratas bagi kategori Utama dan lapan (8) pasukan teratas bagi kategori Muda akan layak ke pertandingan suku akhir.
3.6.4.      Pertandingan suku akhir dan separuh akhir akan dijalankan mengikut sistem menang mara.
3.6.5.      Penentuan peranan (kerajaan/pembangkang) untuk perdebatan bagi pusingan suku akhir, separuh akhir dan pusingan akhir adalah berdasarkan undian atau lambungan duit syiling di hadapan ketua pasukan masing-masing.




       4.         MASA PERSEDIAAN
4.1.       Usul perdebatan akan dimaklumkan 30 minit sebelum perdebatan dimulakan. Sebarang masa perjalanan ke tempat perdebatan adalah termasuk dalam 30 minit berkenaan. Semua pasukan adalah diharapkan dapat menepati masa. Perbincangan hanya boleh disertai oleh (4) orang pendebat yang mengambil bahagian SAHAJA. Penggunaan telefon bimbit atau alat-alat komunikasi lain selepas cabutan usul sehinggalah tamat perdebatan adalah DILARANG.
4.2.       Mana-mana pasukan yang gagal menghadiri perdebatan selepas 15 minit dari masa permulaan perdebatan dikira kalah.

5.         USUL PERDEBATAN
5.1.       Usul-usul perdebatan hanya boleh diumumkan kepada peserta 30 minit sebelum pertandingan bermula.
5.2.       Usul-usul akan merangkumi tema-tema yang berlainan bagi setiap pusingan. Antara contoh tema adalah; Keamanan, Alam Sekitar, Piala Perdana Menteri, Gender, Perpaduan/Kemerdekaan/ Integriti, Humor/Peribahasa/Mantik dan Debat Diraja.

6.         STRUKTUR PERDEBATAN
6.1.       Perdebatan dijalankan dalam Bahasa Malaysia mengikut Gaya Perdebatan ala-Parlimen Malaysia.
6.2.       Setiap pusingan debat mempunyai dua pasukan, iaitu pasukan Kerajaan (pencadang) dan Pembangkang. Setiap pasukan terdiri daripada tiga (3) orang pendebat dan seorang (1) pendebat simpanan.
6.3.       Pasukan Kerajaan terdiri daripada Perdana Menteri dan dua (2) anggota kerajaan manakala Pasukan Pembangkang terdiri daripada Ketua Pembangkang dan dua (2) anggota ahli pembangkang.
6.4.       Setiap pendebat perlu menyampaikan ucapan substantif. Ucapan gulungan bagi pihak Kerajaan dan Pembangkang boleh disampaikan sama ada oleh pendebat pertama atau kedua daripada pihak masing-masing.
6.5.       Had waktu dan susunan ucapan bagi setiap peserta adalah seperti berikut :
UCAPAN SUBSTANTIF
Perdana Menteri / Pencadang Pertama                                        7 Minit
Ketua Pembangkang / Pembangkang Pertama                          7 Minit
Anggota Pertama Kerajaan / Pencadang Kedua                        7 Minit
Anggota Pertama Pembangkang / Pembangkang Kedua        7 Minit
Anggota Kedua Kerajaan / Pencadang Ketiga                            7 Minit
Anggota Kedua Pembangkang / Pembangkang Ketiga            7 Minit

UCAPAN GULUNGAN
Gulungan / Rumusan Pembangkang                                               4 Minit
Gulungan / Rumusan Kerajaan                                                         4 Minit

6.6.       Untuk setiap ucapan substantif, loceng akan dibunyikan sekali selepas seminit (1 minit) masa berlalu bagi menandakan pasukan lawan sudah boleh melakukan celahan atau menerima penjelasan dan sekali lagi padapermulaan minit terakhir bagi menandakan masa untuk membuat celahan sudah tamat. Loceng akan dibunyikan dua (2) kali apabila masa tamat.
6.7.       Untuk membuat ucapan gulungan, loceng akan dibunyikan sekali pada permulaan minit terakhir dan dua kali apabila masa tamat.
6.8.       Perdebatan yang melebihi had masa lebih daripada 30 saat akan diberi amaran oleh Yang Dipertua Dewan (Speaker). Pendebat akan diminta menamatkan ucapan dan boleh dikenakan penalti.
6.9.       Sesi Substantif :
                                 I.       Masa yang diperuntukkan kepada semua pendebat ialah 7 minit.
                                    II.       Loceng pertama akan dibunyikan (satu deringan) pada minit yang pertama sebagai tanda pencelahan boleh dibuat dan satu deringan loceng akan dibunyikan pada satu minit sebelum tamat sebagai tanda tempoh pencelahan sudah tamat dan pendebat perlu menghabiskan hujah- hujahnya manakala loceng kedua (dua deringan) pula akan dibunyikan sebaik sahaja tamat.
                                    III.       Pendebat diminta untuk menamatkan ayatnya yang terakhir dan berhenti berhujah apabila loceng penamat berbunyi.
6.10.   Sesi Penggulungan :
                                        I.     Masa yang diperuntukkan kepada setiap penggulung adalah sebanyak 4 minit setiap seorang.
                              II.     Penggulungan boleh dilakukan oleh sama ada pendebat pertama atau kedua daripada setiap pasukan yang bertanding.

7.         PERANAN SETIAP PASUKAN
7.1.       Peranan pihak Kerajaan adalah untuk menyokong usul. Mereka perlu mendefinisikan usul, memberi hujah/kes yang menyokong usul dan membidas sebarang cabaran yang dibuat oleh pihak Pembangkang terhadap usul mereka.
7.2.       Peranan pihak Pembangkang adalah untuk membangkang usul. Mereka perlu menjawab definisi yang dikemukakan oleh Kerajaan dengan hanya sama ada MENERIMA atau MENOLAK sahaja, membina hujahan/kes bangkangan terhadap usul dan membidas hujahan yang dikemukakan oleh pihak Kerajaan. Setiap PINDAAN konsep pihak Kerajaan adalah DILARANG.

8.         PENGHAKIMAN
8.1.       Setiap perdebatan akan dihakimi oleh satu panel hakim. Bilangan ahli panel mestilah ganjil.
8.2.       Pada pusingan awal, seorang hakim akan bertindak sebagai Yang Dipertua Dewan dan akan digelar Tuan/Puan Yang Dipertua. Dalam pusingan akhir, Yang Dipertua tidak perlu dilantik di kalangan panel hakim.
8.3.       Yang Dipertua Dewan bertanggungjawab menjemput pendebat berucap, menjaga ketertiban majlis dan tertakluk kepada peraturan ini, membuat keputusan tentang sebarang aspek tatacara dan prosedur perdebatan yang mungkin dipertikaikan.
8.4.       Para Hakim mestilah :
                        I.  Mencapai keputusan menang / kalah, keputusan seri tidak          dibenarkan.
                        II.  Tidak menyampuk atau membuat sebarang komen semasa perdebatan berjalan.
8.5.       Ketua Hakim mesti mengisytiharkan keputusan kepada pasukan yang bertanding dan mengumumkan pasukan yang menang dan pendebat terbaik serta alasan terhadap keputusan yang dicapai oleh panel dalam komentar yang tidak melebihi 10 minit.
8.6.       Ahli-ahli panel tidak boleh berbincang dan mesti mencapai keputusan dengan sendiri. Setiap hakim akan memberikan undi dan komennya sendiri.
8.7.       Jika tiada keputusan secara sebulat suara dapat dicapai, maka keputusan majoriti akan diterima pakai. Pindaan terhadap sebarang keputusan tidak akan dibenarkan selepas penyerahan undi.
8.8.       Hakim hendaklah berlaku adil dalam menilai fakta. Hujahan yang disampaikan harus diterima seadanya selagi ia tidak dibuktikan sebaliknya oleh pihak lawan.

9.         PERMARKAHAN
9.1.       Setiap ucapan substantif akan diberikan markah maksimum 100 berdasarkan kepada :
Isi                                                  40 markah
Gaya / Penyampaian              30 markah
Kaedah                                       30 markah
9.2.       Isi akan diadili dari segi kesesuaian, pengembangan dan penjelasan hujah, fakta dan contoh yang digunakan serta bidasan yang berkesan terhadap hujahan pihak lawan.
9.3.       Kaedah akan diadili dari segi :
                                             I.       Keberkesanan penyusunan dan struktur ucapan pendebat.
                                            II.       Keberkesanan penyusunan dan struktur kes sesuatu              pasukan secara keseluruhan.
                                            III.       Kesinambungan hujah/fakta.
                                           IV.       Kerja sepasukan.
9.4.       Gaya/penyampaian akan diadili dari segi kesesuaian dan keberkesanan gaya menyampaikan hujahan. Penyampaian yang mempunyai nilai bujukan yang tinggi serta dapat menarik perhatian penonton akan dipandang positif oleh hakim (dengan syarat dapat membantu hujahan).
9.5.       Ucapan gulungan akan diberikan markah maksimum 50 berdasarkan nisbah pemarkahan ucapan substantif seperti yang disebutkan di atas.
9.6.       Kriteria utama pemarkahan adalah nilai bujukan ucapan iaitu sejauh mana ucapan itu meyakinkan dan memberi sokongan terhadap usul satu-satu pasukan dan konteks perdebatan.

10.      FAKTA BARU
10.1.   Tiada sebarang ‘fakta baru’ dibenarkan bagi disampaikan dalam substantif pendebat ketiga dan ucapan gulungan mana-mana pasukan. Contoh baru adalah bukan fakta baru. Hujahan atau fakta adalah dikira ‘baru’ sekiranya :
                                               I.       Ia tidak digunakan dalam mana-mana hujahan terdahulu
                                             II.       Ia bukan bidasan terhadap hujahan pasukan lawan.

11.      DEFINISI
11.1.   Tugas memberi definisi usul atau perbahasan yang wajar dan boleh didebatkan adalah hak dan tanggungjawab pihak Kerajaan.
11.2.   Pihak Pembangkang boleh :
                                               I.       Menerima definisi kerajaan secara keseluruhan / mutlak, ATAU
                                             II.       Menolak secara keseluruhan/mutlak dan mengemukakan   definisi alternatif.
11.3.   Pihak Pembangkang boleh menolak definisi pihak Kerajaan secara keseluruhannya hanya jika;
                                               I.       Definisi pihak Kerajaan tidak mempunyai kaitan yang kuat dengan 
maksud sebenar usul.
                                       II.       Definisi pihak Kerajaan adalah ‘truistik’ iaitu tidak boleh dibangkang dengan hujahan rasional.
                                            III.       Definisi pihak kerajaan berdasarkan kepada pendefinisian yang terlalu spesifik ataupun hanya melibatkan masa dan tempat yang tidak masuk akal.

12.      PENJELASAN (CELAHAN)
12.1.   Penjelasan (celahan) dalam konteks ini bermaksud penjelasan yang diminta oleh pihak lawan bagi membetulkan pendebat yang sedang berucap atau menimbulkan fakta penting. Ia hendaklah ringkas dan bersangkutan dengan apa yang sedang dibincangkan oleh pendebat tersebut. Markah akan diberi untuk penjelasan dan jawapan terhadap penjelasan efektif/berkesan.
12.2.   Pendebat yang sedang berucap mempunyai hak mutlak samada untuk menerima atau menolak penjelasan yang cuba diberikan. Bagaimanapun, penolakan penjelasan yang berterusan atau penerimaan yang keterlaluan sehingga menjejaskan kualiti ucapan pendebat tersebut harus dipandang serius oleh hakim. Adalah disyorkan setiap pendebat menerima sekurang-kurangnya dua penjelasan. Walaubagaimanapun, pertandingan ini tidak mengenakan had maksimum atau minimum bagi menerima penjelasan.
12.3.   Penjelasan tidak boleh melebihi 15 saat. Loceng akan dibunyikan selepas 15 saat. Jika penjelasan belum selesai, pendebat yang meminta penjelasan hendaklah duduk serta-merta.
12.4.   Penjelasan tidak boleh diminta sebelum berakhirnya minit pertama dan pada minit terakhir mana-mana ucapan substantif. Loceng akan dibunyikan sekali menandakan permulaan dan sekali lagi pada pengakhiran waktu meminta penjelasan dibenarkan. Penjelasan tidak boleh diminta dalam upacara gulungan.
12.5.   Hanya ahli dari pihak lawan boleh meminta penjelasan. Pendebat hendaklah memberi isyarat jika ingin mencelah dengan cara yang sesuai seperti berdiri, mengangkat tangan, membuat permohonan dan sebagainya.
12.6.   Pendebat yang sedang berucap boleh menerima atau menolak penjelasan dengan memberi isyarat fizikal atau memberitahu secara lisan. Jika ditolak, pendebat yang ingin meminta penjelasan hendaklah duduk dan menunggu peluang yang lain.
12.7.   Apabila penjelasan diterima, pendebat yang sedang berdebat tidak boleh menjawab selagi pendebat yang meminta penjelasan belum selesai mencelah atau peruntukan masa 15 saat yang diberi belum tamat (yang mana dulu). Pendebat tidak wajar memotong penjelasan yang diminta oleh pasukan lawan apabila penjelasan telah diterima.

13.      BANTAHAN SEMASA PERDEBATAN SEDANG BERLANGSUNG
13.1.   Bantahan dalam konteks ini bermaksud bantahan yang diajukan oleh pendebat kepada Yang Dipertua Dewan semasa perdebatan berlangsung bagi menarik perhatian beliau terhadap pelanggaran sebarang peraturan perdebatan seperti :
                                            I.       Penggunaan aksi atau bahasa yang kurang sopan dalam
perdebatan, ATAU
                                            II.       Pengenalan fakta baru semasa dalam ucapan substantif pendebat ketiga dan/atau ucapan gulungan, ATAU
                                            III.       Mana-mana pendebat yang melebihi had masa daripada 30 saat.
13.2.   Adalah tanggungjawab setiap pasukan yang menyuarakan bantahan terhadap sebarang pelanggaran peraturan, keputusan Yang Dipertua Dewan sama ada untuk menerima atau menolak bantahan yang dikemukakan adalah muktamad.
13.3.   Jika bantahan diterima, Yang Dipertua Dewan boleh mengarahkan pendebat yang terbabit agar mematuhi peraturan yang dibangkitkan dan masa yang digunakan untuk membuat bantahan akan dikira daripada masa pendebat yang sedang berucap.

14.      KEPUTUSAN
14.1.   Ketua Hakim akan mengumumkan pasukan yang menang dan pendebat terbaik serta membentangkan ulasan dan alasan bagi keputusan tersebut.
14.2.   Keputusan Panel Hakim muktamad dan markah-markah yang dicatatkan oleh mereka adalah sulit dan rahsia. Sebarang kesulitan atau bantahan perlu dikemukakan kepada Urusetia Pertandingan.